Blog Archives

KENYATAAN AKHBAR: KERAJAAN PUSAT DIMINTA PAMERKAN HASIL KAJIAN LOKASI BERISIKO TINGGI KEPADA UMUM

KENYATAAN AKHBAR
23 MEI 2011
KERAJAAN PUSAT DIMINTA PAMERKAN HASIL KAJIAN LOKASI BERISIKO TINGGI  KEPADA UMUM

Kerajaan Negeri meminta kerajaan Pusat  supaya mempamerkan kepada orang ramai lokasi-lokasi bahaya yang berisiko tinggi herlakunya kejadian tanah runtuh supaya kerja pemantauan boleh dilakukan  secara bersama dan lebih kerap.

Kajian ini telah dibuat selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 lalu. Kerajaan Pusat telah meletakkan hasil kajian ini dibawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri telah dihalang dari mempamerkan hasil kajian ini kepada orang ramai.

“Maklumat kajian ini penting untuk meningkatkan kesedaran. Jika orang ramai dimaklumkan, mereka boleh melakukan pemantauan awal di kawasan mereka yang mungkin termasuk dalam lokasi-lokasi berisiko tinggi,” katanya selepas mendengar taklimat dan melawat tempat kejadian tanah runtuh di Madrasah al-Taqwa, Hulu Langat, petang ini.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar telah diberi taklimat oleh Pegawai Daerah dan YDP MPKj di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, Kerajaan Selangor membuat keputusan bahawa madrasah tersebut tidak boleh diduduki sehingga satu keputusan dibuat.

Dato’ Menteri Besar juga berkata, Kerajaan Negeri akan memantau semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang melibatkan kanak-kanak untuk memastikan keselamatan penghuninya terjamin.

Katanya, NGO kebajikan yang memerlukan tapak untuk membina bangunan atau premis bagi menjalankan program kebajikan akan diberi keistimewaan dengan hanya membayar premium tanah serendah RM1.

Mengenai anak-anak yatim yang selamat dalam kejadian itu, beliau berkata, mereka akan ditempatkan di sekolah tajaan JAIS.

Dato’ Menteri Besar mengulangi ucapan takziah kepada keluarga 16 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh  itu.

“Saya juga mewakili rakyat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berangkat melawat tempat kejadian hari ini.  Keprihatinan baginda telah memberi kekuatan kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat membantu dengan menghulurkan pelagai bantuan kemanusiaan termasuk pasukan keselamatan dan polis yang sanggup mengambil risiko ketika menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Saya percaya kita semua telah berusaha sedaya upaya  untuk  menghulurkan bantuan kepada  semua mangsa sama ada yang terselamat atau yang terkorban serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Hari ini adalah hari pertama Dato’ Menteri Besar melawat tempat kejadian selepas menempuh perjalanan selama 40 jam dan membatalkan seminar di Aspen Intistute, Amerika Syarikat.

“Saya  amat terkilan dengan kejadian tanah runtuh walaupun kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk meningkatkan tahap kesedaran pemilik tanah terhadap pembangunan cerun,” katanya.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR BATAL HADIRI SEMINAR DI AMERIKA SYARIKAT

KENYATAAN AKHBAR
22 MEI 2011
MENTERI BESAR BATAL HADIRI SEMINAR DI AMERIKA SYARIKAT

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan menghadiri seminar kepimpinan di Institut Aspen Colorado Amerika Syarikat susulan  berlakunya kejadian tanah runtuh di Felcra Semungkis di Hulu Langat yang mengorbankan 16 kanak-kanak.

Beliau dijangka tiba di KLIA petang esok dan akan terus ke lokasi kejadian untuk melawat mangsa yang selamat serta bertemu dengan ahli keluarga mangsa  yang terkorban.

Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: KERAJAAN SELANGOR BERI BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA DAN KELUARGA KEJADIAN TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT

KENYATAAN AKHBAR
21 MEI 2011
KERAJAAN SELANGOR BERI BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA DAN KELUARGA KEJADIAN TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.

Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.

Dato’ Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.

Dato’ Menteri Besar telah mengarahkan  Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

Buat sementara waktu, Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.

Dato’ Menteri Besar menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan  redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR DESAK KDN DAN HISHAMMUDDIN AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP ADUN KUANG

KENYATAAN AKHBAR
20 MEI 2011
MENTERI BESAR DESAK KDN DAN HISHAMMUDDIN  AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP ADUN KUANG

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri,  Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein bagi mendesak kementerian itu mengambil tindakan segera terhadap ADUN Kuang, YB Abdul Shukor Idrus.

Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor telah mengaku secara terbuka memiliki dan mengedar akhbar haram, Selangor Terkini sekali gus melanggar Seksyen 5 (1) dan (2) Akta Penerbitan Mesin Cetak 1984.

Dalam surat yang dihantar kepada Hishammuddin bertarikh 13 Mei,  Menteri Besar kesal kerana KDN dan Hishammuddin tidak berbuat apa-apa walaupun laporan polis telah dibuat terhadap Abdul Shukor dan Selangor Terkini.

Beliau berkata, kegagalan KDN dan Hishammuddin menyiasat menyebabkan Peguam Negara tidak boleh bertindak termasuk mendakwa Abdul Shukor kerana tiada hasil siasatan yang dikemukakan untuk tindakan lanjut.

Dalam surat balas kepada Menteri Besar bertarikh 21 Mac, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail  memaklumkan bahawa KDN belum mengemukakan sebarang hasil siasatan untuk pertimbangan.

“Kegagalan KDN dan Hishammuddin bertindak secara efisien menyebabkan akhbar haram ini dicetak dan diedar di Selangor tanpa sebarang sekatan. Saya percaya ia didalangi orang yang sama kerana muka ADUN Kuang terpampang di muka depan akhbar haram ini,” kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid sekali lagi mendesak KDN dan Hishammuddin menjalankan siasatan kerana laporan kedua telah dibuat pada 6 Mei lalu terhadap Selangor Terkini selepas dua individu ditangkap ketika mengedarkan akhbar haram ini secara terbuka.

“Saya mengesa Hishammuddin memainkan peranan sebagai Menteri Dalam Negeri dengan lebih berkesan, amanah, bertanggungjawab dan menjangkaui ideologi politik supaya keadilan dapat ditegakkan dan pihak yang didapati bersalah menerima hukuman setimpal,” kata Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: KAMPUNG KERANDANG TIDAK PERNAH DIIKTIRAF SEBAGAI PENEMPATAN SAH

KENYATAAN AKHBAR
19 MEI 2011
KAMPUNG KERANDANG TIDAK PERNAH DIIKTIRAF SEBAGAI PENEMPATAN SAH

 

Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai apa-apa rekod yang mengiktiraf Kampung Kerandang yang terletak dalam hutan simpan Bukit Tarek di Hulu Selangor sebagai satu penempatan yang sah.

Berdasarkan taklimat oleh Pejabat Daerah Hulu Selangor kepada Dato’ Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim tengahari tadi, Kampung Kerandang bukan sebuah kampung yang sah serta tidak mempunyai ketua kampung dan JKKK yang diiktiraf oleh Kerajaan negeri. Perkara ini juga disahkan oleh Penghulu Mukim Batang Kali.

Dalam taklimat itu, Jabatan Hutan Negeri Selangor serta pengarah Pengurusan Tanah dan Galian juga  mengesahkan bahawa tiada kelulusan yang telah diberi oleh mana-mana jabatan kerajaan bagi membenarkan rumah atau mana-mana struktur lain dibina di kawasan seluas 1,000 hektar itu yang masih diwarta sebagai hutan simpan.

Walaupun lesen menduduki sementara (TOL) tidak boleh dikeluarkan untuk kawasan hutan simpan, ironinya Pejabat Daerah pada 2001 telah mengeluarkan lesen TOL kepada 375 keluarga untuk tanaman kontan dengan bayaran RM80 sekeluarga. Lesen TOL ini tamat pada 2004 dan tidak pernah diperbaharui.

Dato’ Menteri Besar juga telah diberitahu Kerajaan Negeri pada 2007 telah mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah rizab Melayu bagi menggantikan tanah rizab Melayu di Kuala Langat yang diambil untuk pembangunan.

Perlu ditekankan di sini bahawa penggantian tanah rizab Melayu tidak melibatkan pemindahan kampung atau penduduk. Ia diganti bagi memastikan jumlah pemilikan rizab Melayu dipertahankan seperti mana termaktub dalam Kanun Tanah Negara tetapi proses pemindahan ini tidak melibatkan individu atau penggantian penempatan. Walaupun, kawasan tersebut diwarta sebagai tanah rizab Melayu, ia juga masih dikategorikan sebagai hutan simpan.

Apabila kawasan tersebut telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu,  lebih  700 orang – termasuk 375 pemegang TOL awal – telah membuat permohonan untuk hak milik tanah. Senarai penama ini telah diberi oleh pemimpin UMNO setempat ketika itu dan telah diberi kepada Pejabat Daerah dengan bayaran RM10 seorang sebagai yuran permohonan.

Bayaran dan perkhidmatan juru ukur bagi pembahagian tanah yang dipohon telah dibiayai oleh jawatankuasa pemohon namun, Kerajaan Negeri tiada maklumat jika pemohon ada membuat bayaran untuk perkhidmatan tersebut.

Setelah Jabatan Hutan membuat tinjauan terperinci ternyata hanya enam orang keluarga yang terdiri daripada peneroka asal yang melibatkan kawasan seluas 12 ekar yang masih tinggal di kampung itu. Sehingga kini tiada struktur haram diatas tanah tersebut telah diusik termasuk rumah penduduk serta madrasah yang telah disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada LZS untuk mendapat penjelasan bagaimana madrasah boleh didirikan tanpa mendapat kelulusan yang sepatutnya. Kerajaan juga akan mendapat penjelasan daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) mengapa jalan masuk boleh dibina di kawasan penempatan yang tidak sah dan dan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh membina penyambungan kabel eletrik tanpa pengiktirafan kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri  akan mempamerkan senarai nama-nama pemegang TOL asal yang dikeluarkan pada 2001 serta nama-nama yang telah dicadangkan untuk menerima tanah TOL ini. Kita menasihatkan individu-individu yang mahu menarik diri dari menerima tanah TOL supaya berhubung terus dengan Pegawai Daerah Hulu Selangor.

“Mereka yang berhak akan diberi pertolongan oleh kerajaan Negeri. Tapi mereka yang cuba mengambil kesempatan tidak akan dilayan. Kita menyedari ada pihak yang tidak bertanggungjawab  yang cuba mengeruh keadaan tapi kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah ini secara professional, telus dan bertanggungjawab,” kata Dato’ Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR AKAN JUMPA PENDUDUK KAMPUNG KERANDANG

KENYATAAN AKHBAR
18 MEI 2011
MENTERI BESAR AKAN JUMPA PENDUDUK KAMPUNG KERANDANG

 

Satu perjumpaan akan diadakan dengan enam keluarga yang menetap atas tanah pendudukan sementara atau tanah TOL di kampung Kerandang di Hulu Selangor bagi memastikan isu ini diselesaikan dengan cara berhemah.

Perjumpaan ini akan diadakan di Pejabat Menteri Besar, jam 12 tengah hari esok.  Perjumpaan ini akan dihadiri Pegawai daearh dan Jabatan Hutan Negeri Selangor.

Kita akan mencari jalan terbaik untuk membantu penduduk ini supaya mereka tidak dipinggirkan termasuk kemungkinan memberi mereka tanah TOL ini walaupun ia termasuk tanah rezab Hutan Simpan Bukit Tarek.

Semakan yang dibuat juga mendapati hanya enam keluarga yang menetap atas tanah TOL ini. Justeru dakwaan yang mengatakan lebih 100 keluarga tinggal di kampung ini adalah kurang tepat.

Kita juga sedang mengemas kini senarai nama mereka yang telah diberikan tanah TOL ini dan juga senarai mereka yang telah memohon pemilikkan tanah. Nama-nama ini kita akan paparkan di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor untuk disemak oleh orang ramai.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


==================================================================


KENYATAAN AKHBAR
18 MEI 2011
SELANGOR AKAN ADAKAN MESYUARAT KHAS BAGI MENYELESAIKAN PROSES PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR

 

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan penyelesaian isu penstrukturan semula  industri air dengan Kerajaan Persekutuan yang mungkin akan membawa hasil yang positif tidak lama lagi.

Mesyuarat Khas ini akan diadakan pada minggu pertama Jun ini dan antara agenda yang dijadualkan dibincangkan ialah pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2 yang mana Kerajaan Negeri akan membuat keputusan sama ada perlu mengeluarkan arahan pembangunan dalam masa yang terdekat.

Kerajaan Negeri tetap menekankan keutamaan mesti diberikan untuk  menyelesaikan penstrukturan semula industri air supaya kecekapan  perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan, mengekalkan tariff air pada pada kadar munasabah dan dapat meneruskan pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan.

Kami telah memberikan kerja sama dan usaha terbaik bagi mempercepatkan proses penstrukturan semula yang mana pada tawaran terakhir kami telah memasukkan satu fasal yang membenarkan pemegang konsesi menggunakan Timbang tara Antarabangsa (International Arbitration) jika tidak setuju harga yang ditawarkan.

Amat malang apabila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta dua pemegang konsesi, SYABAS dan Puncak Niaga dilihat lebih berminat menakut-nakutkan rakyat kononnya akan berlaku krisis air pada 2014 untuk mendesak Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan pembangunan bagi projek Langat 2.

Kerajaan Selangor akan terus berkerjasama dengan semua pihak dan tidak membantah sama sekali pembinaan Langat 2 tetapi tetap dengan pendirian bahawa projek ini patut dilaksanakan selepas isu penstrukturan air diselesaikan terlebih dahulu.

 

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: LBCN JAMIN SIAPKAN PROJEK ALAM PERDANA AKHIR TAHUN INI

KENYATAAN AKHBAR

15 MEI 2011


LBCN JAMIN SIAPKAN PROJEK ALAM PERDANA AKHIR TAHUN INI

Kerajaan negeri telah memperoleh jaminan peribadi dari pengarah-pengarah Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn Bhd (LBCN) untuk menyiapkan projek perumahan terbengkalai, Alam Perdana di Kuala Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan kepada kira-kira 500 pembeli rumah bahawa LBCN juga telah mendepositkan  RM41 juta dalam “Tabung Projek Terbengkalai Negeri Selangor” yang diuruskan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan untuk menyiapkan 3,000 rumah yang sepatutnya telah disiapkan sejak 2001. LBCN diberi tempoh antara 6 hingga ke 18 bulan untuk menyiapkan sepenuhnya pembinaan itu.

“Jika syarikat ini gagal menyiapkannya, mereka akan   kehilangan deposit. Kita akan menggunakan dana ini untuk mendapatkan pemaju lain bagi menyiapkan projek perumahan ini,” kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata demikian pada sesi dialog dengan pembeli-pembeli rumah projek Alam Perdana di Stadium Tertutup di Kuala Selangor, semalam.

Bagi pembeli-pembeli yang telah diistiharkan muflis kerana gagal membayar pinjaman perumahan, Menteri Besar berkata, beliau akan cuba membantu dengan mengadakan perbincangan dengan bank-bank yang terlibat.

“Saya secara peribadi akan bertemu pihak bank untuk memastikan pembeli tidak dibebankan dengan masalah ini, ” katanya.

Pada sesi dialog itu, pembeli-pembeli meluahkan kemarahan terhadap pemaju kerana gagal menyiapkan projek seperti yang dijanjikan.

Pada masa yang sama, pembeli-pembeli menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri yang membantu memastikan projek terbengkalai berkenaan disiapkan menjelang akhir tahun ini.

Mengenai isu Kampung Kerandang, Menteri Besar  berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti 30 keluarga yang tinggal di kampung itu dan akan mengadakan pertemuan bagi memastikan mereka adalah peneroka asal.

Kira-kira 1,000 ekar Hutan Simpan Bukit Tarek telah diasingkan dan diberikan sebagai tanah TOL di bawah kerajaan terdahulu.

Kerajaan negeri mendapati bahawa tanah TOL ini dikeluarkan untuk tanaman kontan.

“Kelapa sawit bukan tanaman kontan jadi kita perlu mengenal pasti siapa yang menerima tanah TOL ini,” katanya.

Menteri Besar mengarahkan mereka yang secara tidak sengaja membeli tanah di Kampung Kerandang supaya mendaftar di Pejabat Tanah dan Galian kerana urusniaga ini mungkin menyalahi undang-undang.

“Walaupun kerajaan negeri boleh mengabaikan transaksi haram ini, kami akan tetap bertemu dengan mereka atas dasar kemanusiaan,” kata Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

______________________________________________________________________________________

PRESS STATEMENT

2011, MAY 15

LBCN GUARANTEES COMPLETION OF TAMAN ALAM PERDANA HOUSING PROJECT BY THE END OF THE YEAR

The state government has obtained personal guarantee from Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn Bhd (LBCN)  directors to complete the abandoned housing project in Alam Perdana in Kuala Selangor.

The Menteri Besar informed about 500 house buyers that the company had also deposited some RM41million in  “Tabung Projek Terbengkalai Negeri Selangor” managed by state government.

The money will then be used to finance the completion of a total of 3,000 houses initially due to be completed in 2001. The company has from 6 months to 18 months to complete the construction.

“If the company fails to complete it, they will stand to lose the money. We will then use the money to get other developers to complete it”, said the Menteri Besar.

He said this in a dialogue with home buyers of the Alam Perdana project at Stadium Tertutup Kuala Selangor here yesterday.

As for buyers who have been declared bankrupt following failure to service their housing loans, MB said he will try to help solve the problem by meeting the respective banks.

“I will personally meet the bank to ensure that you are not overly burden by this,” he said.

During the dialogue, buyers who spoke expressed anger towards the developer over their failure. They however are thankful that the state government has help settle the problems by the year end.

On other issues, the MB said the state has identified some 30 families staying in Kg Kerandang and will be meeting them to determine if they are genuine settlers.

About 1,000 acres were alienated from Bukit Tarek forest reserve by the previous state goverment.

We found out that TOLs were issued for cash crops.

“Oil palm is not a cash crop so we have to identify who received the TOL title,” he said.

He also instructed that those who accidently bought land at Kampung Kerandang to register at the Pejabat Tanah dan Galian and the dealings may be illegal.

“Although we can ignore the illegal transactions we will still meet them on a humanitarian basis,” the Menteri Besar said.

PRESS SECRETARIAT
OFFICE OF SELANGOR MENTERI BESAR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR TURUN PADANG, SELAMI DAN SELESAIKAN MASALAH RAKYAT

KENYATAAN AKHBAR

6 MEI 2011

MENTERI BESAR TURUN PADANG, SELAMI DAN SELESAIKAN MASALAH RAKYAT

Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini turun padang ke Daerah Hulu Langat bagi menyelami, mendengar dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat di daerah ini.

Pada sesi pagi, Menteri Besar menghadiri perhimpunan pagi bersama kakitangan awam di padang Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat yang dihadiri kira-kira 500 orang yang terdiri pegawai kanan kerajaan,ketua jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun.

Pada perhimpunan selama sejam itu, Menteri Besar mengingatkan kakitangan awam supaya bekerja dengan jujur dan efektif kerana negeri Selangor telah melangkah jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri lain.

Selepas itu, beliau mengadakan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Dewan Bandaran Kajang, untuk mendengar masalah dan cadangan bagi meningkatkan sistem pentadbiran negeri.

Pelbagai masalah yang diajukan termasuk masalah sistem perparitan, keadaan jalan yang teruk dan kemudahan infrastruktur yang tidak diselia dengan baik.

Menteri Besar, Exco dan Ketua-ketua jabatan kemudian menyertai orang ramai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Alang, Beranang. Selepas solat, Menteri Besar makan tengahari bersama jemaah di perkarangan masjid menerusi program Kenduri rakyat.

Beliau kemudian ke Dewan Orang Ramai Semenyih bagi menyampaikan sumbangan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Rakyat (MES) diikuti sesi dialog dengan orang awam.

Lebih 2,000 hadir sesi dialog itu dan mereka diberi peluang mengajukan pertanyaan secara terus kepada Menteri Besar, Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

Menteri Besar mengarahkan pihak terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan setiap masalah dan aduan yang dikemukakan rakyat pada sesi dialog itu.

Menteri Besar berkata, beliau mengambil berat kekecewaan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat yang berlaku kerana  perancangan tidak betul oleh pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan Negeri akan berusaha menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh,” kata Menteri Besar.

Pada sesi petang, Menteri Besar melawat Kilang Sate Haji Samuri di Sungai Ramal Dalam dan dibawa melawat sekitar kilang dan diberi penerangan mengenai latar belakang sate Haji Samuri sehingga menjadi perusahaan besar.

Menteri Besar menyifatkan Haji Samuri sebagai contoh ahli perniagaan sejati yang bermula dari bawah dan kini mempunyai perusahaan besar serta menjadi majikan kepada 500 pekerja.

Program Khas Turun Padang hari ini diakhiri dengan Ceramah Perdana Pencapaian Kerajaan Pakatan Rakyat di Dewan Bandaran Kajang.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR