Blog Archives

KENYATAAN AKHBAR: KERAJAAN PUSAT DIMINTA PAMERKAN HASIL KAJIAN LOKASI BERISIKO TINGGI KEPADA UMUM

KENYATAAN AKHBAR
23 MEI 2011
KERAJAAN PUSAT DIMINTA PAMERKAN HASIL KAJIAN LOKASI BERISIKO TINGGI  KEPADA UMUM

Kerajaan Negeri meminta kerajaan Pusat  supaya mempamerkan kepada orang ramai lokasi-lokasi bahaya yang berisiko tinggi herlakunya kejadian tanah runtuh supaya kerja pemantauan boleh dilakukan  secara bersama dan lebih kerap.

Kajian ini telah dibuat selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 lalu. Kerajaan Pusat telah meletakkan hasil kajian ini dibawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri telah dihalang dari mempamerkan hasil kajian ini kepada orang ramai.

“Maklumat kajian ini penting untuk meningkatkan kesedaran. Jika orang ramai dimaklumkan, mereka boleh melakukan pemantauan awal di kawasan mereka yang mungkin termasuk dalam lokasi-lokasi berisiko tinggi,” katanya selepas mendengar taklimat dan melawat tempat kejadian tanah runtuh di Madrasah al-Taqwa, Hulu Langat, petang ini.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar telah diberi taklimat oleh Pegawai Daerah dan YDP MPKj di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, Kerajaan Selangor membuat keputusan bahawa madrasah tersebut tidak boleh diduduki sehingga satu keputusan dibuat.

Dato’ Menteri Besar juga berkata, Kerajaan Negeri akan memantau semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang melibatkan kanak-kanak untuk memastikan keselamatan penghuninya terjamin.

Katanya, NGO kebajikan yang memerlukan tapak untuk membina bangunan atau premis bagi menjalankan program kebajikan akan diberi keistimewaan dengan hanya membayar premium tanah serendah RM1.

Mengenai anak-anak yatim yang selamat dalam kejadian itu, beliau berkata, mereka akan ditempatkan di sekolah tajaan JAIS.

Dato’ Menteri Besar mengulangi ucapan takziah kepada keluarga 16 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh  itu.

“Saya juga mewakili rakyat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berangkat melawat tempat kejadian hari ini.  Keprihatinan baginda telah memberi kekuatan kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat membantu dengan menghulurkan pelagai bantuan kemanusiaan termasuk pasukan keselamatan dan polis yang sanggup mengambil risiko ketika menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Saya percaya kita semua telah berusaha sedaya upaya  untuk  menghulurkan bantuan kepada  semua mangsa sama ada yang terselamat atau yang terkorban serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Hari ini adalah hari pertama Dato’ Menteri Besar melawat tempat kejadian selepas menempuh perjalanan selama 40 jam dan membatalkan seminar di Aspen Intistute, Amerika Syarikat.

“Saya  amat terkilan dengan kejadian tanah runtuh walaupun kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk meningkatkan tahap kesedaran pemilik tanah terhadap pembangunan cerun,” katanya.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR BATAL HADIRI SEMINAR DI AMERIKA SYARIKAT

KENYATAAN AKHBAR
22 MEI 2011
MENTERI BESAR BATAL HADIRI SEMINAR DI AMERIKA SYARIKAT

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan menghadiri seminar kepimpinan di Institut Aspen Colorado Amerika Syarikat susulan  berlakunya kejadian tanah runtuh di Felcra Semungkis di Hulu Langat yang mengorbankan 16 kanak-kanak.

Beliau dijangka tiba di KLIA petang esok dan akan terus ke lokasi kejadian untuk melawat mangsa yang selamat serta bertemu dengan ahli keluarga mangsa  yang terkorban.

Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN MEDIA: TAKZIAH KEPADA SELURUH KELUARGA RUMAH ANAK YATIM AL-TAQWA, HULU LANGAT.

KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR
22 MEI 2011

Setakat kenyataan media ini dikeluarkan masih ada anak yatim di rumah Anak Yatim Al-Takwa, yang masih tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat ini. Diharap semua pihak dapat bersama menyumbang tenaga dalam usaha menyelamat oleh pihak keselamatan.

Saya mewakili KEADILAN Selangor mengucapkan takziah kepada seluruh tenaga pengajar dan anak-anak yatim yang terkorban dalam tragedi ini.

Hujan lebat yang turun beberapa hari di kawasan Hulu Langat ini memungkinkan kejadian tanah runtuh ini berlaku. Selain dari menerima ini sebagai satu bencana alam yang sudah ditentukanNya, kita wajar menginsafi kejadian sebegini dan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan ia dari terus berulang. Ini adalah kerana kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sedikit masa dahulu yang antara lain faktor penyumbangnya adalah kerana kecuaian manusia, tiada kawalan ketat oleh pihak berwajib untuk menjalankan pembangunan dengan kawal selia yang cekap dan ketat.

Jesteru KEADILAN Selangor mendesak Kerajaan Negeri membekukan serta merta aktiviti berhampiran tanah berstruktur lemah dan dilereng bukit. Apatah lagi projek pembanggunan di atas bukit seperti yang banyak terdapat di Bukit Antarabangsa, Ampang dan Bukit Cermin Putra Heights, kawasan Subang Jaya.

KEADILAN Selangor sedar, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor telah pun mengambil inisiatif supaya kawalan lebih ketat dalam meluluskan sebarang aktiviti dan pembangunan di kawasan lereng bukit yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh dan bencana runtuhan. Namun terdapat rungutan melampau apabila ia mula dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor perlu mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan belasan nyawa yang terkorban dan kerosakan harta benda disamping perubahan ekologi persekitaran.

Jika dikaji memang ada kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menyebabkan banyak pembangunan yang diluluskan tanpa kawalan ketat dari segi keselamatannya dan inilah masanya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bertindak tegas.

KEADILAN Selangor juga suka untuk mengingatkan kepada UMNO Selangor supaya tidak perlu menunjuk lagak hero dalam tragedi ini kerana disini bukanlah medan untuk berpolitik, sebaliknya bersamalah berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dalam membantu Anak-Anak Rumah Yatim Al-Takwa ini.

KEADILAN juga dukacita dengan kejadian semalam, dimana tindakan Puteri UMNO yang beriya-iya benar mahu mempolitikkan tragedi ini sehinggakan mangsa yang terselamat dari tanah runtuh ini didesak untuk bergambar bersama Puteri UMNO demi menunjukkan bukti kepada pimpinan atasan mereka yang kononnya mereka prihatin dan ini amat dikesali.

KEADILAN menyeru semua pihak termasuk UMNO Selangor supaya jangan sekali kali jadikan tragedi ini sebagai medan beradu politik. Marilah kita berjiwa besar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan pihak keselamatan di peringkat kerajaan Persekutuan bersama-sama membantu mangsa kejadian tanah runtuh ini. Pihak Polis perlulah memberi kerjasama baik kepada wakil kerajaan Negeri yang hadir ke kawasan runtuhan setiap hari bagi membantu menyelaras bantuan. Semalam, tindakan pihak Polis menyekat EXCO Kerajaan Negeri Selangor menghampiri kawasan runtuhan, pada masa sama membenarkan pimpinan UMNO dan wakil Kerajaan Pusat  masuk kekawasan runtuhan adalah tindakan yang tidak wajar.

Dalam keadaan bencana seperti itu, semua pihak seperti Majlis Tempatan, BOMBA, Polis, Jabatan Kerja Raya dan semua agensi milik kerajaan Negeri dan Pusat mempunyai tugas berat dan digesa berkerjasama bagi menyelamatkan mangsa dan Kerajaan Negeri punyai tanggungjawap lebih besar membantu mangsa.

KEADILAN Selangor mencadangkan agar Dato’ Menteri Besar Selangor yang sedang berada di Amerika Syarikat agar kembali segera bagi mengepalai usaha bantuan yang lebih pantas kepada semua mangsa terlibat.

Buat seluruh keluarga besar Rumah Anak Yatim Al- Takwa Hulu Langat, KEADILAN Selangor akan mempastikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor menyegerakan bantuan dalam apa sahaja bentuk demi meringankan bebanan keluarga mangsa.

Komitmen dan keazaman KEADILAN Selangor untuk terus berbakti kepada Rakyat Selangor bertambah kukuh selepas seharian dan semalaman berada di kawasan runtuhan ini.

Semoga semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa dan diterima sebagai para syuhada yang di jamin tempatnya di Syurga.

Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor / Adun Sri Muda

KENYATAAN AKHBAR: KERAJAAN SELANGOR BERI BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA DAN KELUARGA KEJADIAN TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT

KENYATAAN AKHBAR
21 MEI 2011
KERAJAAN SELANGOR BERI BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA DAN KELUARGA KEJADIAN TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.

Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.

Dato’ Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.

Dato’ Menteri Besar telah mengarahkan  Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

Buat sementara waktu, Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.

Dato’ Menteri Besar menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan  redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR