Category Archives: KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Media

 

 

 

 

 

KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR
16 JULAI 2011
Merujuk kepada kenyataan Dato Sri Noh Omar 16 Julai 2011 dengan tajuk ‘Perhimpunan PAS hanya mahu membersihkan imej Anwar’ di sebuah akhbar tempatan hari ini.

KEADILAN Selangor merasakan pemikiran Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Selangor ini jelas masih ketinggalan dan terpesong dari arus politik dunia masa kini. Dalam keadaan UMNO Selangor yang kehilangan arah tuju dan sedang bergelut dalam menarik sokongan rakyat komen ini nyata lahir dari fikiran yang berkecamuk, risau dan gentar.

Tuduhan propaganda yang dibuat oleh beliau dengan mengatakan bahawa jika perhimpunan susulan BERSIH 2.0 diadakan, ia hanya untuk membersihkan imej Dato Seri Anwar Ibrahim merupakan satu bukti kecetekan fikiran beliau. Nampaknya kepimpinan UMNO Selangor ini sudah semakin jauh dengan gerakan rakyat ataupun ‘civil society movement’ – satu gerakan rakyat menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Mungkin kerana Menteri ini tidak sudah-sudah hanya menjenguk kawasan Parlimen beliau sahaja (baru hari ini ke Sabah) sedangkan portfolio Menteri yang dipertanggungjawab ke atas beliau bukanlah hanya untuk menjaga Parlimen Tanjong Karang, maka Noh Omar seakan sudah tidak mampu menilai dan memahami politik semasa. Atau mungkin sudah beku fikirannya memahami politik baru.

Noh Omar seeloknya mencari jalan untuk membersihkan nama busuk UMNO Selangor yang semakin hari semakin dipandang hina oleh rakyat Selangor dengan pelbagai permasalahan dalaman dan isu yang tidak mampu lagi diselesaikan oleh beliau. Cara beliau menghabiskan riwayat politik Khir Toyo cukup meninggalkan luka yang dalam di hati penyokong Khir. Tanya sahaja ahli Umno di Sungai Besar!

Kegagalan beliau merapatkan kepimpinan MCA dan MIC Selangor dalam memperkukuhkan BN Selangor merupakan kegagalan terbesar Noh Omar yang cuba beliau selindungkan dengan melencongkan fitnah baru kepada Pakatan Rakyat Selangor dan Dato Sri Anwar Ibrahim.

Belum pernah lagi KEADILAN Selangor mendengar pandangan membina dari Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor ini menjurus kepada penyelesaian permasalahan rakyat Selangor, sebaliknya beliau hanya berminat menyerang Pakatan Rakyat demi politik peribadi beliau sendiri yang tidak menguntungkan rakyat Selangor.

KEADILAN Selangor sarankan agar Noh Omar selesaikan dahulu masalah dalaman yang dihadapi UMNO Selangor di Sungai Besar, Sabak Bernam, Sepang, Selayang dan Ampang. Calon ADUN gantian di Sungai Panjang juga harus segera diselesaikan sebelum mencipta propaganda baru seperti komen murahan ini.

KEADILAN Selangor ingin tegaskan, tidak kira di mana sahaja perhimpunan aman rakyat diadakan, kami akan terus komited bersama gerakan rakyat untuk sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Ia merupakan salah satu tunjang penting dalam pembinaan maruah negara. Dalam negara ini semua pihak boleh bercakap samada di Dewan Negeri, Dewan Rakyat, Dewan Negara maupun di jalanraya! Stadium salah satu dari tempatnya, bukankah Perdana Menteri suruh ‘menjerit’ disana? Jadi, kenapa takut suara rakyat dilaungkan dalam stadium?

Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan
KEADILAN Selangor /
Adun Sri Muda

KENYATAAN AKHBAR: KERAJAAN PUSAT DIMINTA PAMERKAN HASIL KAJIAN LOKASI BERISIKO TINGGI KEPADA UMUM

KENYATAAN AKHBAR
23 MEI 2011
KERAJAAN PUSAT DIMINTA PAMERKAN HASIL KAJIAN LOKASI BERISIKO TINGGI  KEPADA UMUM

Kerajaan Negeri meminta kerajaan Pusat  supaya mempamerkan kepada orang ramai lokasi-lokasi bahaya yang berisiko tinggi herlakunya kejadian tanah runtuh supaya kerja pemantauan boleh dilakukan  secara bersama dan lebih kerap.

Kajian ini telah dibuat selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 lalu. Kerajaan Pusat telah meletakkan hasil kajian ini dibawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri telah dihalang dari mempamerkan hasil kajian ini kepada orang ramai.

“Maklumat kajian ini penting untuk meningkatkan kesedaran. Jika orang ramai dimaklumkan, mereka boleh melakukan pemantauan awal di kawasan mereka yang mungkin termasuk dalam lokasi-lokasi berisiko tinggi,” katanya selepas mendengar taklimat dan melawat tempat kejadian tanah runtuh di Madrasah al-Taqwa, Hulu Langat, petang ini.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar telah diberi taklimat oleh Pegawai Daerah dan YDP MPKj di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, Kerajaan Selangor membuat keputusan bahawa madrasah tersebut tidak boleh diduduki sehingga satu keputusan dibuat.

Dato’ Menteri Besar juga berkata, Kerajaan Negeri akan memantau semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang melibatkan kanak-kanak untuk memastikan keselamatan penghuninya terjamin.

Katanya, NGO kebajikan yang memerlukan tapak untuk membina bangunan atau premis bagi menjalankan program kebajikan akan diberi keistimewaan dengan hanya membayar premium tanah serendah RM1.

Mengenai anak-anak yatim yang selamat dalam kejadian itu, beliau berkata, mereka akan ditempatkan di sekolah tajaan JAIS.

Dato’ Menteri Besar mengulangi ucapan takziah kepada keluarga 16 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh  itu.

“Saya juga mewakili rakyat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berangkat melawat tempat kejadian hari ini.  Keprihatinan baginda telah memberi kekuatan kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat membantu dengan menghulurkan pelagai bantuan kemanusiaan termasuk pasukan keselamatan dan polis yang sanggup mengambil risiko ketika menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Saya percaya kita semua telah berusaha sedaya upaya  untuk  menghulurkan bantuan kepada  semua mangsa sama ada yang terselamat atau yang terkorban serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Hari ini adalah hari pertama Dato’ Menteri Besar melawat tempat kejadian selepas menempuh perjalanan selama 40 jam dan membatalkan seminar di Aspen Intistute, Amerika Syarikat.

“Saya  amat terkilan dengan kejadian tanah runtuh walaupun kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk meningkatkan tahap kesedaran pemilik tanah terhadap pembangunan cerun,” katanya.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR BATAL HADIRI SEMINAR DI AMERIKA SYARIKAT

KENYATAAN AKHBAR
22 MEI 2011
MENTERI BESAR BATAL HADIRI SEMINAR DI AMERIKA SYARIKAT

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan menghadiri seminar kepimpinan di Institut Aspen Colorado Amerika Syarikat susulan  berlakunya kejadian tanah runtuh di Felcra Semungkis di Hulu Langat yang mengorbankan 16 kanak-kanak.

Beliau dijangka tiba di KLIA petang esok dan akan terus ke lokasi kejadian untuk melawat mangsa yang selamat serta bertemu dengan ahli keluarga mangsa  yang terkorban.

Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN MEDIA: TAKZIAH KEPADA SELURUH KELUARGA RUMAH ANAK YATIM AL-TAQWA, HULU LANGAT.

KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR
22 MEI 2011

Setakat kenyataan media ini dikeluarkan masih ada anak yatim di rumah Anak Yatim Al-Takwa, yang masih tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat ini. Diharap semua pihak dapat bersama menyumbang tenaga dalam usaha menyelamat oleh pihak keselamatan.

Saya mewakili KEADILAN Selangor mengucapkan takziah kepada seluruh tenaga pengajar dan anak-anak yatim yang terkorban dalam tragedi ini.

Hujan lebat yang turun beberapa hari di kawasan Hulu Langat ini memungkinkan kejadian tanah runtuh ini berlaku. Selain dari menerima ini sebagai satu bencana alam yang sudah ditentukanNya, kita wajar menginsafi kejadian sebegini dan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan ia dari terus berulang. Ini adalah kerana kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sedikit masa dahulu yang antara lain faktor penyumbangnya adalah kerana kecuaian manusia, tiada kawalan ketat oleh pihak berwajib untuk menjalankan pembangunan dengan kawal selia yang cekap dan ketat.

Jesteru KEADILAN Selangor mendesak Kerajaan Negeri membekukan serta merta aktiviti berhampiran tanah berstruktur lemah dan dilereng bukit. Apatah lagi projek pembanggunan di atas bukit seperti yang banyak terdapat di Bukit Antarabangsa, Ampang dan Bukit Cermin Putra Heights, kawasan Subang Jaya.

KEADILAN Selangor sedar, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor telah pun mengambil inisiatif supaya kawalan lebih ketat dalam meluluskan sebarang aktiviti dan pembangunan di kawasan lereng bukit yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh dan bencana runtuhan. Namun terdapat rungutan melampau apabila ia mula dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor perlu mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan belasan nyawa yang terkorban dan kerosakan harta benda disamping perubahan ekologi persekitaran.

Jika dikaji memang ada kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menyebabkan banyak pembangunan yang diluluskan tanpa kawalan ketat dari segi keselamatannya dan inilah masanya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bertindak tegas.

KEADILAN Selangor juga suka untuk mengingatkan kepada UMNO Selangor supaya tidak perlu menunjuk lagak hero dalam tragedi ini kerana disini bukanlah medan untuk berpolitik, sebaliknya bersamalah berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dalam membantu Anak-Anak Rumah Yatim Al-Takwa ini.

KEADILAN juga dukacita dengan kejadian semalam, dimana tindakan Puteri UMNO yang beriya-iya benar mahu mempolitikkan tragedi ini sehinggakan mangsa yang terselamat dari tanah runtuh ini didesak untuk bergambar bersama Puteri UMNO demi menunjukkan bukti kepada pimpinan atasan mereka yang kononnya mereka prihatin dan ini amat dikesali.

KEADILAN menyeru semua pihak termasuk UMNO Selangor supaya jangan sekali kali jadikan tragedi ini sebagai medan beradu politik. Marilah kita berjiwa besar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan pihak keselamatan di peringkat kerajaan Persekutuan bersama-sama membantu mangsa kejadian tanah runtuh ini. Pihak Polis perlulah memberi kerjasama baik kepada wakil kerajaan Negeri yang hadir ke kawasan runtuhan setiap hari bagi membantu menyelaras bantuan. Semalam, tindakan pihak Polis menyekat EXCO Kerajaan Negeri Selangor menghampiri kawasan runtuhan, pada masa sama membenarkan pimpinan UMNO dan wakil Kerajaan Pusat  masuk kekawasan runtuhan adalah tindakan yang tidak wajar.

Dalam keadaan bencana seperti itu, semua pihak seperti Majlis Tempatan, BOMBA, Polis, Jabatan Kerja Raya dan semua agensi milik kerajaan Negeri dan Pusat mempunyai tugas berat dan digesa berkerjasama bagi menyelamatkan mangsa dan Kerajaan Negeri punyai tanggungjawap lebih besar membantu mangsa.

KEADILAN Selangor mencadangkan agar Dato’ Menteri Besar Selangor yang sedang berada di Amerika Syarikat agar kembali segera bagi mengepalai usaha bantuan yang lebih pantas kepada semua mangsa terlibat.

Buat seluruh keluarga besar Rumah Anak Yatim Al- Takwa Hulu Langat, KEADILAN Selangor akan mempastikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor menyegerakan bantuan dalam apa sahaja bentuk demi meringankan bebanan keluarga mangsa.

Komitmen dan keazaman KEADILAN Selangor untuk terus berbakti kepada Rakyat Selangor bertambah kukuh selepas seharian dan semalaman berada di kawasan runtuhan ini.

Semoga semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa dan diterima sebagai para syuhada yang di jamin tempatnya di Syurga.

Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor / Adun Sri Muda

KENYATAAN AKHBAR: KERAJAAN SELANGOR BERI BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA DAN KELUARGA KEJADIAN TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT

KENYATAAN AKHBAR
21 MEI 2011
KERAJAAN SELANGOR BERI BANTUAN SEGERA KEPADA MANGSA DAN KELUARGA KEJADIAN TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.

Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.

Dato’ Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.

Dato’ Menteri Besar telah mengarahkan  Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

Buat sementara waktu, Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.

Dato’ Menteri Besar menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan  redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR DESAK KDN DAN HISHAMMUDDIN AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP ADUN KUANG

KENYATAAN AKHBAR
20 MEI 2011
MENTERI BESAR DESAK KDN DAN HISHAMMUDDIN  AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP ADUN KUANG

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri,  Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein bagi mendesak kementerian itu mengambil tindakan segera terhadap ADUN Kuang, YB Abdul Shukor Idrus.

Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor telah mengaku secara terbuka memiliki dan mengedar akhbar haram, Selangor Terkini sekali gus melanggar Seksyen 5 (1) dan (2) Akta Penerbitan Mesin Cetak 1984.

Dalam surat yang dihantar kepada Hishammuddin bertarikh 13 Mei,  Menteri Besar kesal kerana KDN dan Hishammuddin tidak berbuat apa-apa walaupun laporan polis telah dibuat terhadap Abdul Shukor dan Selangor Terkini.

Beliau berkata, kegagalan KDN dan Hishammuddin menyiasat menyebabkan Peguam Negara tidak boleh bertindak termasuk mendakwa Abdul Shukor kerana tiada hasil siasatan yang dikemukakan untuk tindakan lanjut.

Dalam surat balas kepada Menteri Besar bertarikh 21 Mac, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail  memaklumkan bahawa KDN belum mengemukakan sebarang hasil siasatan untuk pertimbangan.

“Kegagalan KDN dan Hishammuddin bertindak secara efisien menyebabkan akhbar haram ini dicetak dan diedar di Selangor tanpa sebarang sekatan. Saya percaya ia didalangi orang yang sama kerana muka ADUN Kuang terpampang di muka depan akhbar haram ini,” kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid sekali lagi mendesak KDN dan Hishammuddin menjalankan siasatan kerana laporan kedua telah dibuat pada 6 Mei lalu terhadap Selangor Terkini selepas dua individu ditangkap ketika mengedarkan akhbar haram ini secara terbuka.

“Saya mengesa Hishammuddin memainkan peranan sebagai Menteri Dalam Negeri dengan lebih berkesan, amanah, bertanggungjawab dan menjangkaui ideologi politik supaya keadilan dapat ditegakkan dan pihak yang didapati bersalah menerima hukuman setimpal,” kata Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

PDRM: Jangan terlebih UMNO dari UMNO

KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT
NEGERI SELANGOR
19 MEI 2011

Semacam ada satu ketakutan dasyat yang melanda parti pemerintah di Putrajaya sehingga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dikerah bertindak keterlaluan mengganggu proses perjalanan siri Ceramah KEADILAN Selangor ‘JELAS- Tawan Malaysia!’.

Tindakan keterlaluan pihak PDRM dengan mengenakan sekatan jalanraya ketat menuju ke tempat ceramah, mengarah trak FRU berkumpul di hadapan kawasan ceramah, meletakkan pita garisan had sempadan ceramah di premis persendirian / markas parti dan melengahkan urusan pemberian permit merupakan tindakan luar biasa pihak PDRM, diyakini ianya demi untuk menjaga kepentingan politik UMNO. Ia berlaku di Pelabuhan Klang dan terbaru di Kuala Langat / Sepang.

KEADILAN Selangor ingin ingatkan PDRM, rakyat di Selangor bukanlah pengganas atau puak pelampau yang perlu dikawal sedemikian rupa ataupun pertubuhan perkauman melampau seperti Perkasa pimpinan Ibrahim Ali.

KEADILAN Selangor sekali lagi men gesa PDRM menghormati keputusan rakyat di Selangor yang memilih Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan yang sah pada PRU 12. Segala tekanan yang cuba diberikan oleh PDRM kepada Kempen ‘JELAS – Tawan Malaysia!’ dengan sendirinya jelas menunjukkan yang pihak PDRM ini ibarat ‘terlebih UMNO dari UMNO’. Lagak PDRM tidak ubah seperti ‘budak suruhan’ UMNO dalam menghalang aktiviti demokrasi Pakatan Rakyat menyampaikan penerangan kepada rakyat di Selangor.

KEADILAN Selangor ingin bertanya, mengapakah institusi PDRM sendiri yang merendahkan martabat yang ada pada mereka? Sedangkan kalau dilihat pada sejarah PDRM sejak puluhan tahun, pernah ketikanya wibawa PDRM tidak boleh dipertikai. Perubahan dan transformasi yang diwar-warkan oleh institusi PDRM satu ketika dahulu seakan dimandulkan dengan tindakan keterlaluan pihak PDRM yang ‘terang lagi bersuluh’ kelihatan mengambil arahan dari UMNO untuk bertindak.

Sebagai contoh; Di Kuala Langat dan Sepang, pentadbiran polis bagi kawasan Parlimen Sepang terbahagi pada dua pentadbiran iaitu, IPD Sepang dan IPD Kuala Langat. Bagi 5 buah Kampung bermula dari Bukit Changgang ianya terletak dibawah bidang kuasa IPD Kuala Langat. Pada 16 Mei lalu IPD Kuala Langat yang bertanggungjawap tidak membenarkan ceramah di Bukit Changgang dengan menyita Dewan Orang Ramai Bukit Changgang. Pihak KEADILAN Cabang Sepang cuba mengalih tempat ke Dewan Orang Ramai Salak Tinggi, dibawah pentadbiran IPD Sepang. Namun ianya telah ditolak atas alasan permohonan permit adalah terlalu singkat.

Mengikut maklumat yang disampaikan, pihak PDRM Kuala Langat dan Sepang telah menerima tekanan dari UMNO untuk membatalkan ceramah tersebut. Kelihatan kuncu-kuncu UMNO pengikut Ahli Parlimen Sepang dan ADUN Dengkil telah dilihat bersama-sama polis dan sentiasa berulang alik di depan Dewan Orang Ramai Bukit Changgang bagi memantau persiapan yang telah dijalankan.
Apa yang menyedihkah pada hari Ahad 15/05/2011 Dewan Bukit Changgang telah disita menyebabkan pelajar-pelajar sekolah yang mengikuti Program Kelas Tuisyen Rakyat (PTRS) anjuran kerajaan Negeri takut untuk hadir. Hanya 4 pelajar hadir dari 25 orang pelajar. Akhirnya ceramah penerangan ini di buat di Markas PAS Kampung Labuan Dagang, Banting. Itupun ada unsur provokasi pihak PDRM

Tindakan dan lagak PDRM yang ‘terlebih sudu dari kuah’ dalam menjaga kepentingan politik UMNO ini semakin membosankan rakyat.

Tugas PDRM yang utama adalah menjunjung ikrar taat setia Institusi Kepolisan menjaga keselamatan rakyat seluruhnya.

Ketua Polis Negara wajib jelaskan kepada rakyat di Selangor mengapakah tindakan PDRM mutakhir ini tidak langsung mencerminkan kewibawaan PDRM itu sendiri. Bagaimana PDRM boleh bersekongkol dalam komunikasi halus bawaan APCO Worldwide dengan logo 1Malaysia pada kenderaan yang dimiliki PDRM kalau benar institusi ini bebas dari kongkongan politik?

Tahap kekesanan PDRM wajib dinilai dalam menyelesai kes jenayah yang dialami negara ini dan bukannya Key Performance Indicator (KPI) PDRM dinilai dari segi tindakan keterlaluan menghalang Kempen ‘JELAS – Tawan Malaysia! mahupun ceramah penerangan seumpamanya.

Apa pun agenda politik yang tersemat pada PDRM ini, kami tidak akan mengalah dan menghentikan kempen penerangan pada seluruh rakyat di Selangor.

‘JELAS- Tawan Malaysia!’ diteruskan pada malam ini di Bandar Baru Bangi anjuran KEADILAN Selangor dan Cabang Serdang manakala pada 20hb Mei 2011(Jumaat) diadakan di
Dewan Serbaguna Cheras Baru, Jalan Kuari, Cheras anjuran KEADILAN Selangor dan Cabang Pandan yang akan dihadiri oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Penerangan ini merupakan satu tanggungjawab kami sebagai parti yang diberi mandat oleh rakyat di Selangor untuk memerintah negeri ini.

Semoga teguran ini diambil dari sudut positif supaya Institusi PDRM ini dihormati oleh rakyat di Selangor dan bukannya menjadi bahan jenaka kerana terang terangan menjadi perkakas politik pada UMNO.

Shuhaimi Hj Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor / Adun Sri Muda

KENYATAAN AKHBAR: KAMPUNG KERANDANG TIDAK PERNAH DIIKTIRAF SEBAGAI PENEMPATAN SAH

KENYATAAN AKHBAR
19 MEI 2011
KAMPUNG KERANDANG TIDAK PERNAH DIIKTIRAF SEBAGAI PENEMPATAN SAH

 

Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai apa-apa rekod yang mengiktiraf Kampung Kerandang yang terletak dalam hutan simpan Bukit Tarek di Hulu Selangor sebagai satu penempatan yang sah.

Berdasarkan taklimat oleh Pejabat Daerah Hulu Selangor kepada Dato’ Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim tengahari tadi, Kampung Kerandang bukan sebuah kampung yang sah serta tidak mempunyai ketua kampung dan JKKK yang diiktiraf oleh Kerajaan negeri. Perkara ini juga disahkan oleh Penghulu Mukim Batang Kali.

Dalam taklimat itu, Jabatan Hutan Negeri Selangor serta pengarah Pengurusan Tanah dan Galian juga  mengesahkan bahawa tiada kelulusan yang telah diberi oleh mana-mana jabatan kerajaan bagi membenarkan rumah atau mana-mana struktur lain dibina di kawasan seluas 1,000 hektar itu yang masih diwarta sebagai hutan simpan.

Walaupun lesen menduduki sementara (TOL) tidak boleh dikeluarkan untuk kawasan hutan simpan, ironinya Pejabat Daerah pada 2001 telah mengeluarkan lesen TOL kepada 375 keluarga untuk tanaman kontan dengan bayaran RM80 sekeluarga. Lesen TOL ini tamat pada 2004 dan tidak pernah diperbaharui.

Dato’ Menteri Besar juga telah diberitahu Kerajaan Negeri pada 2007 telah mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah rizab Melayu bagi menggantikan tanah rizab Melayu di Kuala Langat yang diambil untuk pembangunan.

Perlu ditekankan di sini bahawa penggantian tanah rizab Melayu tidak melibatkan pemindahan kampung atau penduduk. Ia diganti bagi memastikan jumlah pemilikan rizab Melayu dipertahankan seperti mana termaktub dalam Kanun Tanah Negara tetapi proses pemindahan ini tidak melibatkan individu atau penggantian penempatan. Walaupun, kawasan tersebut diwarta sebagai tanah rizab Melayu, ia juga masih dikategorikan sebagai hutan simpan.

Apabila kawasan tersebut telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu,  lebih  700 orang – termasuk 375 pemegang TOL awal – telah membuat permohonan untuk hak milik tanah. Senarai penama ini telah diberi oleh pemimpin UMNO setempat ketika itu dan telah diberi kepada Pejabat Daerah dengan bayaran RM10 seorang sebagai yuran permohonan.

Bayaran dan perkhidmatan juru ukur bagi pembahagian tanah yang dipohon telah dibiayai oleh jawatankuasa pemohon namun, Kerajaan Negeri tiada maklumat jika pemohon ada membuat bayaran untuk perkhidmatan tersebut.

Setelah Jabatan Hutan membuat tinjauan terperinci ternyata hanya enam orang keluarga yang terdiri daripada peneroka asal yang melibatkan kawasan seluas 12 ekar yang masih tinggal di kampung itu. Sehingga kini tiada struktur haram diatas tanah tersebut telah diusik termasuk rumah penduduk serta madrasah yang telah disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada LZS untuk mendapat penjelasan bagaimana madrasah boleh didirikan tanpa mendapat kelulusan yang sepatutnya. Kerajaan juga akan mendapat penjelasan daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) mengapa jalan masuk boleh dibina di kawasan penempatan yang tidak sah dan dan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh membina penyambungan kabel eletrik tanpa pengiktirafan kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri  akan mempamerkan senarai nama-nama pemegang TOL asal yang dikeluarkan pada 2001 serta nama-nama yang telah dicadangkan untuk menerima tanah TOL ini. Kita menasihatkan individu-individu yang mahu menarik diri dari menerima tanah TOL supaya berhubung terus dengan Pegawai Daerah Hulu Selangor.

“Mereka yang berhak akan diberi pertolongan oleh kerajaan Negeri. Tapi mereka yang cuba mengambil kesempatan tidak akan dilayan. Kita menyedari ada pihak yang tidak bertanggungjawab  yang cuba mengeruh keadaan tapi kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah ini secara professional, telus dan bertanggungjawab,” kata Dato’ Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR: MENTERI BESAR AKAN JUMPA PENDUDUK KAMPUNG KERANDANG

KENYATAAN AKHBAR
18 MEI 2011
MENTERI BESAR AKAN JUMPA PENDUDUK KAMPUNG KERANDANG

 

Satu perjumpaan akan diadakan dengan enam keluarga yang menetap atas tanah pendudukan sementara atau tanah TOL di kampung Kerandang di Hulu Selangor bagi memastikan isu ini diselesaikan dengan cara berhemah.

Perjumpaan ini akan diadakan di Pejabat Menteri Besar, jam 12 tengah hari esok.  Perjumpaan ini akan dihadiri Pegawai daearh dan Jabatan Hutan Negeri Selangor.

Kita akan mencari jalan terbaik untuk membantu penduduk ini supaya mereka tidak dipinggirkan termasuk kemungkinan memberi mereka tanah TOL ini walaupun ia termasuk tanah rezab Hutan Simpan Bukit Tarek.

Semakan yang dibuat juga mendapati hanya enam keluarga yang menetap atas tanah TOL ini. Justeru dakwaan yang mengatakan lebih 100 keluarga tinggal di kampung ini adalah kurang tepat.

Kita juga sedang mengemas kini senarai nama mereka yang telah diberikan tanah TOL ini dan juga senarai mereka yang telah memohon pemilikkan tanah. Nama-nama ini kita akan paparkan di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor untuk disemak oleh orang ramai.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


==================================================================


KENYATAAN AKHBAR
18 MEI 2011
SELANGOR AKAN ADAKAN MESYUARAT KHAS BAGI MENYELESAIKAN PROSES PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR

 

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan penyelesaian isu penstrukturan semula  industri air dengan Kerajaan Persekutuan yang mungkin akan membawa hasil yang positif tidak lama lagi.

Mesyuarat Khas ini akan diadakan pada minggu pertama Jun ini dan antara agenda yang dijadualkan dibincangkan ialah pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2 yang mana Kerajaan Negeri akan membuat keputusan sama ada perlu mengeluarkan arahan pembangunan dalam masa yang terdekat.

Kerajaan Negeri tetap menekankan keutamaan mesti diberikan untuk  menyelesaikan penstrukturan semula industri air supaya kecekapan  perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan, mengekalkan tariff air pada pada kadar munasabah dan dapat meneruskan pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan.

Kami telah memberikan kerja sama dan usaha terbaik bagi mempercepatkan proses penstrukturan semula yang mana pada tawaran terakhir kami telah memasukkan satu fasal yang membenarkan pemegang konsesi menggunakan Timbang tara Antarabangsa (International Arbitration) jika tidak setuju harga yang ditawarkan.

Amat malang apabila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta dua pemegang konsesi, SYABAS dan Puncak Niaga dilihat lebih berminat menakut-nakutkan rakyat kononnya akan berlaku krisis air pada 2014 untuk mendesak Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan pembangunan bagi projek Langat 2.

Kerajaan Selangor akan terus berkerjasama dengan semua pihak dan tidak membantah sama sekali pembinaan Langat 2 tetapi tetap dengan pendirian bahawa projek ini patut dilaksanakan selepas isu penstrukturan air diselesaikan terlebih dahulu.

 

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN MEDIA: PDRM SAH ALAT UMNO!

KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SELANGOR
16 MEI 2011
UNTUK EDARAN SEGERA

KEADILAN Selangor kesal dengan tindakan Polis DiRaja (PDRM)Malaysia, Sepang yang menghalang majlis penerangan ‘JELAS- Tawan Malaysia!’ malam ini di Dewan Orang Ramai Kg Bukit Changgang, Kuala Langat. Tindakan in adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Sebelum ini ‘JELAS- Tawan Malaysia!’ sudah diadakan di 5 kawasan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) yang melibatkan penganjuran 12 siri penerangan dimana semua IPD berkaitan memberikan kerjasama amat baik, tetapi di IPD Kuala Langat keadaannya cukup berbeza.

KEADILAN Selangor amat kesal dengan kesombongan Timbalan dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang memberikan alasan tidak munasabah dalam meluluskan permit. Sejak bila jumlah kehadiran orang ramai, saiz dewan ceramah dan mengeluarkan nama Dato Sri Anwar Ibrahim menjadi syarat utama untuk meluluskan permit? Paling mendukacitakan adalah polis menghadkan kehadiran orang ramai hanya sekitar 400 orang.

KEADILAN Selangor mendesak Ketua Polis Negeri Selangor dan Ketua Polis Negara agar bertindak segera membetulkan keadaan ini sebelum terlambat. Tindakan menghalang ceramah ini merudumkan lagi pandangan masyarakat kepada polis selain menipiskan terus kepercayaan seluruh masyarakat dunia dalam demokrasi di Malaysia. Tambah memalukan adanya kaitan kes pembunuhan seorang budak lelaki berusia 17 yang di tembak polis 2 hari lepas.

KEADILAN Selangor nekad meneruskan program ini di dewan lain selepas dewan yang dicadangkan sehari awal disita dengan pita halangan oleh polis sejak semalam lagi. Tinjauan KEADILAN Selangor menunjukkan pihak polis sudah menempatkan anggota dan trak Pasukan Gerakan Am bagi menghalang program ini.

Jesteru semua rakan media dan pelbagai pihak dialu alukan hadir ke tempat baru yang di tukar ke Dewan Orang Ramai Salak Tinggi. KEADILAN Selangor mempunyai tanggungjawap bagi menerangkan perkara ini kepada seluruh rakyat.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, YB Azmin Ali mengesahkan akan hadir bersama malam ini selain pimpinan kerajaan negeri. Perpindahan ini tidak memerlukan permit kerana ia di buat di dalam dewan yang tertutup.

KEADILAN Selangor ingin mengingatkan, tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan rakyat, bukannya menjadi khadam boneka mana mana pihak. Jika program di tempat baru ini juga di halang, jelas bahawa polis hari ini sudah menjadi alat suruhan UMNO / BN. Apa yang boleh di buat rakyat adalah mengantikan kerajaan pusat hari ini dengan kerajaan baru bernama, Pakatan Rakyat!

Shuhaimi Hj Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor / Adun Sri Muda